19/12/2024 04:25 PM
10,000 Produk Permainan Minda Berasaskan Braille B-Goolee Akan Diberi Percuma
IPOH, 19 Dis (Bernama) — Sekurang-kurangnya 10,000 produk permainan cabaran minda, iaitu B-Goolee akan diberikan secara percuma kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan di sekolah rendah dan menengah termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara tahun depan.
Pengasas Goolee Sdn Bhd Dr Kamarulzzaman Ahmad berkata ia sebagai usaha pihaknya dalam memastikan murid khususnya pendidikan khas dapat menikmati keseronokan bermain permainan minda.
Kamarulzzaman berkata B-Goolee yang bermaksud Braille-Goolee ialah permainan cabaran minda inovatif, diinspirasikan daripada Boardgame Goolee dan juga aplikasi Goolee.
