Goolee

21/11/2024

 

Hargai Saintis Muda, UKM Rangkul 3 Anugerah Utama Di Kemuncak Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan dan Karnival Minggu Sains Negara

Putrajaya International Convention Centre (PICC) menjadi saksi kepada satu peristiwa penting dalam usaha membudayakan sains, teknologi, dan inovasi (STI) di Malaysia. Kemuncak Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Akhir Kebangsaan dan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) berlangsung selama dua hari yang penuh pengisian dan pengetahuan baru pada 17 dan 18 November, dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI).

Karnival Ilmu dan Teknologi untuk Semua

Bermula dari April hingga Oktober 2024, Minggu Sains Negara berjaya menarik hampir 2.4 juta penyertaan secara dalam talian dan fizikal di lapan siri karnival di seluruh negara. Dengan lebih 100,000 pengunjung yang hadir, aktiviti seperti demonstrasi sains, pameran interaktif, dan bual bicara yang menekankan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian menjadi tarikan utama. Inisiatif ini bukan sahaja memupuk minat terhadap STI tetapi juga menunjukkan komitmen MOSTI selama tujuh tahun sejak pelancarannya pada 2018 dalam menyemarakkan kesedaran dan pembelajaran STI.